Tafsir dari segi bahasa berasal dari kata فسر – يفسر – تفسرا. Menurut Ibnu Manzur tafsir ialah “menerangkan maksud lafaz yang tidak jelas”. Ibnu Abbas pula mengatakan وأحسن تفسيرا ialah bermaksud “penjelasan”. Manakala tafsir dari sudut istilah ulama’ dan para ahli ilmu mengatakan ianya ialah ilmu yang mengkaji mengenai maksud dan lafaz ayat dalam al-Quran, hukum-hakam serta pengajaran dan manfaat dari al-Quran.
Menurut Zarqasyi pula tafsir bermaksud ilmu untuk memahami kitab Allah s.w.t. yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. serta menjelaskan maknanya dan mengeluarkan hukum-hakam dan pengajaran. Ilmu tafsir juga ditakrifkan sebagai ilmu yang menjelaskan makna ayat sesuai dengan petunjuk yang zahir ( lahir ) dalam batas kemampuan manusia. Ertinya ilmu tafsirialah suatu ilmu mengkaji bagaimana menjelaskan kehendak Allah s.w.t. yang terkandung dalam al-Quran melalui lafaz dan makna serta menjelaskan hukum-hukum yang terkandung di dalamnya, sesuai dengan kemampuan mufassir (ahli tafsir).
Menurut Zarqasyi pula tafsir bermaksud ilmu untuk memahami kitab Allah s.w.t. yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. serta menjelaskan maknanya dan mengeluarkan hukum-hakam dan pengajaran. Ilmu tafsir juga ditakrifkan sebagai ilmu yang menjelaskan makna ayat sesuai dengan petunjuk yang zahir ( lahir ) dalam batas kemampuan manusia. Ertinya ilmu tafsirialah suatu ilmu mengkaji bagaimana menjelaskan kehendak Allah s.w.t. yang terkandung dalam al-Quran melalui lafaz dan makna serta menjelaskan hukum-hukum yang terkandung di dalamnya, sesuai dengan kemampuan mufassir (ahli tafsir).
Mutakhir ini, terdapat banyak kajian yang ingin membuktikan bahawa dapatan kajian sains selari dengan apa yang diceritakan oleh al-Quran. Umum mengetahui, pada 14 abad yang lalu, ALLAH s.w.t telah menurunkan sebuah kitab suci sebagai panduan hidup seantero manusia, yakni Al-Quran. ALLAH s.w.t menyeru manusia agar berpegang kepada kitab ini sebagai jalan utama untuk mentauhidkan-Nya. Gaya uslub bahasa, dan ketinggian hikmah yang terdapat di dalam kitab ini adalah bukti yang amat jelas bahawa ianya adalah kalam suci ALLAH yang tiada tolok bandingnya. Tambahan pula, kitab ini mengandungi ciri-ciri keajaiban yang membuktikan bahawa ianya adalah wahyu agung dari ALLAH. Antara buktinya ialah kenyataan bahawa sejumlah kebenaran saintifik yang hanya mampu disingkap melalui kemajuan teknologi di abad ke 20 ini sebenarnya telah pun diungkapkan di dalam Al-Qur'an 1400 tahun dahulu.
Al-Quran mengandungi pelbagai cabang ilmu seperti sejarah, feqah, tauhid, tasawwuf, biologi, fizik, kimia dan lain-lain. Ya, sudah tentu Al-Qur'an bukanlah sebuah kitab sains, sejarah ataupun buku cerita. Tetapi, banyak fakta-fakta saintifik yang dinyatakan secara jelas dalam surahnya hanya mampu disingkap melalu kecanggihan teknologi abad ke 20. Semua fakta ini tidak diketahui ketika masa penurunan wahyu dan ini juga adalah bukti bahawa Al-Qur'an adalah kalam Tuhan yang boleh dicungkil dan diteroka. Untuk memahami dan menyingkap keajaiban saintifik dalam Al-Qur'an, maka tidak lain tidak bukan hanyalah dengan satu ilmu, yakni Ilmu Tafsir al-Quran.
Untuk memahami al-Quran, tidak cukup untuk kita hanya membaca terjemahan dalam bahasa ibunda. Kita perlu berfikir dalam kerangka al-Quran dan hadis yang sahih, padangan golongan ‘salafussoleh’ dalam memahami ayat tersebut serta perbincangan para mufasir.
Apabila kita cuba memahami al-Quran dengan tidak mengikut kerangka disiplin ilmunya, maka kita secara tidak langsung akan terpesong dan tersasar daripada makna sebenar. Contohnya, ada pihak yang mendakwa bahawa sistem suria ini mempunyai 11 planet kerana ayat ke-4 surah Yusuf yang merakamkan dialog Nabi Yusuf dengan ayahnya, Nabi Ya’kub. Dalam perbualan tersebut telah diceritakan tentang terdapatnya 11 bintang sujud kepadanya. Berteori semudah itu suatu yang tidak tepat. Ini kerana ayat tersebut perlu dibaca hingga ayat ke-100 dalam surah yang sama yakni membaca kesemua ayat dalam surah berkenaan dan tidak hanya membaca satu dua ayat. Sebelas bintang yang sujud itu bermaksud 11 bintang adik beradik Nabi Yusuf yang akhirnya sujud kepada baginda setelah pertemuan semula berlaku.
Sehubungan dengan itu, dalam berinteraksi dengan ayat al-Quran, kita wajib memahami kaedah pentafsirannya dan menguasai disiplin ilmunya. Lebih malang lagi, sebahagian mukmin yang teruja dengan kepelbagaian kewujudan idea dan teori ( termasuk teori konspirasi ) akan memetik ayat-ayat al-Quran bagi menyokongnya. Contohnya, pernah wujud idea dan teori bahawa peristiwa 11 September 2001 telah pun memberi bayangan dalam al-Quran menerusi kaedah pengiraan beberapa perkataan dalam al-Quran. Semua ini adalah bentuk-bentuk penafsiran yang tidak tepat, bahkan menyesatkan. Selain itu ada pula pihak yang hanya menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan kajian mereka tanpa merujuk penafsiran daripada hadis Rasulullah s.a.w dan pandangan sahabat.
Ya, al-Quran begitu penting dalam memberikan pemahaman yang maksimum kepada manusia mengenai ilmu yang terkandung di dalamnya. Ini kerana, peredaran zaman yang berlaku sekarang menyebabkan wujudnya pelbagai teori daripada ahli-ahli falsafah dan saintis barat yang terkenal dengan hujah akal pendek mereka sambil menafikan fakta sebenar dari al-Quran. Contoh terbaik ialah teori Darwin yang sebelum ini cukup terkenal dengan mengatakan bahawa manusia wujud hasil daripada baka monyet dan beruk. Namun para mufasir al-Quran telah berjaya menyelamatkan aqidah umat Islam ketika itu daripada hanyut dengan teori berkenaan. Mufasir Islam ketika itu telah menyatakan manusia wujud daripada baka hasil perkahwinan Nabi ALLAH Adam a.s dan Hawa. Selain itu, ilmu tafsir ini juga sangat penting bagi membuktikan mukjizat kepelbagaian ilmu dalam al-Quran seperti ilmu feqah, tauhid, tasawwuf, mantik, sains dan sebagainya. Ini sekaligus membezakan al-Quran dengan kitab-kitab lain. Selain itu, mempelajari ilmu tafsir juga dapat memahami makna-makna al-Quran dengan lebih sempurna dan tepat, mengeluarkan hukum yang terkandung di dalamnya dan mengelakkan seseorang dari memahami ayat dengan cara yang salah atau menyeleweng dari maksud yang sebenar.
Ilmu Tafsir telah berjaya membongkar pelbagai ilmu sains dalam Quran, antaranya :
1. - Tenaga atom
Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud :
Maksud : Sesungguhnya Allah jualah Yang membelah (menumbuhkan) butir (tumbuh-tumbuhan) dan biji (buah-buahan). ia mengeluarkan Yang hidup dari Yang mati, dan mengeluarkan Yang mati dari Yang hidup. Yang sedemikian itu kekuasaannya ialah Allah. maka Bagaimanakah kamu dipalingkan dari menyembahNya (oleh benda-benda Yang kamu jadikan sekutuNya)?
Surah al-An’am : 95
Para mufassir telah menyingkap istilah‘ butir tumbuh-tumbuhan ‘ ( al-habbi ) dan ‘ biji buah-buahan ‘ ( an-nawa ) dalam ayat tersebut bermaksud pembelahan atom. Terjemahan an-nawa menurut kamus termasuklah nukleus pusat atau nukleus atom. Tambahan pula, perumpamaan mengeluarkan yang hidup daripada yang mati ditafsirkan sebagai Tuhan telah mencipta unsur daripada tenaga yang mati. Mengeluarkan yang mati dari yang hidup pula dikaitkan dengan tenaga mati yang muncul dari pada benda hidup kerana atom adalah sesuatu yang sentiasa bergerak. Istilah hidup ( al-hayyi ) kemudian ditafsirkan sebagai ‘ aktif ‘ ataupun ‘ bertenaga ‘ sementara istilah tidak hidup ( al-mayyit ) ditafsirkan sebagai ‘ mati ‘ yang juga merujuk kepada tenaga.
1 - Keajaiban alam rahim
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud :
Maksud : Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan Yang kukuh (rahim)
Surah al-mu’minun : 12-13
Ilmu tafsir telah menerangkan secara terperinci proses kejadian manusia bermula ketika berlaku persenyawaan antara sperma ( benih lelaki ) dan ovum ( benih perempuan ). Selepas persenyawaan berlaku, bermulalah proses pembentukan janin. Daripada satu sel, ia berkembang menjadi berjuta-juta sel sehinggalah menjadi tubuh manusia yang sempurna selama tempoh 9 bulan. Semua proses yang kompleks ini berlaku di dalam rahim ibu.
Pelbagai proses ajaib berlaku ketika ini. Daripada segumpal darah, menjadi seketul daging dan kemudianya menjadi manusia yang sempurna. Sesungguhnya, memang benarlah rahim ibu merupakan tempat yang paling selamat dan kukuh seperti disebutkan dalam al-Quran. Sepanjang proses perkembangannya, janin menghadapi seribu satu ancaman dalaman dan luaran termasuklah panas matahari, gangguan bunyi, dan racun daripada asap kenderaan. Walaupun kelihatan seperti bahaya, namun ia tidak dapat menggugat keselamatan bayi kerana dilindungi dengan selamat di dalam rahim ibu. Kedudukan rahim di dalam ruang pelvis (ruangan antara tulang-tulang punggul dan paha) menjadikan rahim dilindungi dengan kukuh oleh tulang-tulang yang nipis dan tebal. Struktur tulang-tulang pelvis ini memberi perlindungan yang baik kepada janin pada peringkat awal perkembangannya. Maha suci ALLAH, dua contoh diatas merupakan antara bukti bahawa kaedah penafsiran telah berjaya menyingkap pelbagai ilmu seperti sains dalam al-Quran.
Secara tuntasnya, segala ilmu termasuk sains yang terkandung dalam al-Quran bertepatan dengan ilmu moden. Namun maklumat-maklumat ini hanya diketahui setelah dirujuk menggunakan ilmu tafsir yang sekaligus membuktikan bahawa al-Quran merupakan ayat-ayat dari ALLAH s.w.t. Ia juga membuktikan al-Quran yang diturunkan 1400 tahun yang lalu telah membuka banyak ruang kepada penyelidik bagi mewujudkan penemuan baru dalam dunia sains pada hari ini. Pendek kata, pelbagai lagi ilmu dapat diterokai dengan adanya ilmu tafsir ini.
Wallahu'allam........
No comments:
Post a Comment