Tuesday, 17 January 2012

DAKWAH ISLAMIAH : Apa Asas Kejayaan Seorang Da'i ???



Seorang umat Islam yang mengamalkan konsep dakwah, sama ada seorang ahli agama atau masyarakat awam, digelar sebagai da’i. seorang da’i menjemput orang untuk memahami Islam melalui proses ajakan yang baik, tindakan dan dialog. Dakwah juga dijelaskan sebagai tugas untuk “secara aktif menggalakkan umat Islam dalam penerusan pengamalan beragama, kewarakan lebih mantap dalam semua aspek hidup mereka”.


APA ITU DAKWAH ???
Dakwah bererti mengajak manusia kepada Islam.
Di dalam bahasa Arab – dakwah bermakna secara harfiahnya “menyeru” atau “mengajak”, juga bermakna “memanggil” atau “menjemput”.
Dari sudut istilah, dakwah adalah : Suatu kegiatan ajakan baik dalam bentuk lisan, tulisan, tingkah laku dan sebagainya yang dilakukan secara sedar dan berencana sama ada melalui kaedah manual, digital, biasa atau elektronik dalam usaha mempengaruhi orang lain baik secara individu mahupun secara kelompok supaya timbul dalam dirinya suatu pengertian, kesedaran, sikap penghayatan serta pengamalan terhadap ajaran agama sebagai mesej yang disampaikan kepadanya tanpa adanya unsure-unsur paksaan.
Daripada pengertian di atas dapat disimpulkan bahawa metod dakwah itu bermaksud cara atau kaedah penyampaian Islam kepada sasaran. Dakwah hendaklah mengikuti kaedah tertentu, kerana kalau tidak, ia mungkin tidak membawa apa-apa kesan.


APA METOD DAKWAH YANG DIGARISKAN ISLAM ???
Tugas-tugas dakwah perlu disampaikan dengan pelbagai metod asas sebagaimana yang telah diwahyukan ALLAH s.w.t dalam surah an-Nahl ayat 125 yang bermaksud :
“ Serulah ke jalan Tuhanmu ( wahai Muhammad ) dengan hikmah ( kebijaksanaan ) dan nasihat (pengajaran) yang baik, dan berbahaslah dengan mereka ( yang engkau serukan itu ) dengan cara yang lebih baik : sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah ( petunjuk ).”
Garis panduan inilah yang menjadi asas kepada para da’I dan umat Islam umumnya. Inilah yang menjadi dasar metodologi dakwah dalam Islam. Ayat ini mengandungi tiga metod atau uslub dalam berdakwah yakni :

-          Hikmah atau bijaksana
-          Nasihat yang baik
-          Berdebat dengan cara yang paling baik ( sopan & adab )


TUGAS SIAPAKAH UNTUK BERDAKWAH ???
Dakwah adalah tugas asas para rasul dan mereka dibangkitkan untuk berdakwah kepada kaum mereka. Mereka diutus untuk menyeru kaum mereka agar kaum itu beriman kepada ALLAH s.w.t sebagaimana firmanNya dalam surah an-Nahl ayat 36 yang bermaksud :

“ Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka) : ‘Hendaklah kamu menyembah ALLAH dan jauhilah taaghut’. Maka di antara ( yang menerima seruan Rasul itu ), ada yang diberi hidayah petunjuk oleh ALLAH dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan rasul-rasulnya.”

Rasulullah s.a.w diutuskan sebagai pendakwah sebagaimana firman ALLAH s.w.t dalam surah al-Ahzab ayat 45 hingga 47 yang bermaksud :

“ Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu untuk menjadi saksi, dan pembawa berita gembira kepada orang-orang yang ingkar. Dan juga sebagai penyeru umat manusia seluruhnya kepada agama ALLAH dan taufiq yang diberi-Nya : dan sebagai lampu yang menerangi. Dan dengan itu, sampaikanlah berita yang menggembirakan kepada orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya mereka akan beroleh kurnia yang besar dari ALLAH.”

Demikian tugas Rasulullah sebagai pembawa berita gembira dan amaran kepada seluruh umat manusia. Secara tidak langsung ia merupakan suatu seruan ataupun dakwah. Bahkan dijelaskan dengan ayat yang berikutnya sebagai da’I illallah atau sebagai pendakwah kepada agama ALLAH. Setelah Baginda wafat, tugas sebagai da’I ini diteruskan pula oleh para sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in dan seterusnya umat-umat yang terkemudian.


ADAKAH JIN JUGA ADA TANGGUNGJAWAB BERDAKWAH ???
Selain manusia, golongan jin juga melakukan dakwah kepada kaumnya sebagaimana firman ALLAH dalam surah al-Ahqaf ayat 29 hingga 32 yang bermaksud :

“ Dan ingatkanlah peristiwa semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu wahai Muhammad untuk mendengar al-Quran, setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah setengahnya kepada yang lain : ‘ Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya’, kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyebarkan ajaran al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.
Mereka berkata : ‘ Wahai kaum kami, sesungguhnya kami telah mendengar Kitab ( al-Quran ) yang diturunkan oleh ALLAH sesudah nabi Musa, yang menegaskan kebenaran kitab-kitab suci yang terdahulu daripadanya, lagi memandu kepada kebenaran ( tauhid ) dan ke jalan yang lurus (agama Islam).
Wahai kaum kami, sahutlah seruan rasul ( Nabi Muhammad ) yang mengajak ke jalan ALLAH, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya ALLAH mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Dan sesiapa tidak menyahut ( seruan ) rasul yang mengajaknya ke jalan ALLAH, maka ia tidak akan dapat melepaskan diri dari balasan azab, walau ke mana sahaja ia melarikan diri di bumi, dan ia tidak akan beroleh sesiapa pun yang lain dari ALLAH – sebagai pelindung-pelindung yang membelanya, mereka ( yang demikian sifatnya ) adalah dalam kesesatan yang nyata ”

Tuntasnya, inilah jalan yang dilaksanakan oleh Rasulullah dan mereka yang menuruti Baginda dari semasa ke semasa.


APAKAH BEZA ANTARA DAKWAH KEPADA BUKAN MUSLIM DAN DAKWAH SESAMA MUSLIM ???
Dakwah dengan menyatakan bukti dan hujah lebih difokuskan kepada bukan Muslim. Manakala dakwah sesame Muslim lebih kepada amar ma’ruf wa nahi mungkar ( menyuruh berbuat kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran ). Firman ALLAH dalam surah ali-Imran ayat 104 yang bermaksud :

“ Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru yakni berdakwah kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala kebaikan, serta melarang daripada segala yang salah ( buruk & keji )”'

Walaupun begitu, pembangunan insan dengan mencetuskan kesedaran terhadap kehebatan ALLAH s.w.t tetap berlaku kepada masyarakat Muslim dan non-Muslim pada setiap masa.
Wallahu’allam.




No comments:

Post a Comment