Bismillah.......
Pengenalan
Setelah menusia mengakhiri hidup di dunia, maka manusia akan mulai masuk ke alam seterusnya yakni alam kubur ( barzakh ). Kubur adalah tempat persinggahan yang kedua bagi manusia dan jin sebelum tempat persinggahan yang lain. Alam barzakh bermula sejurus selepas berpisahnya roh daripada jasad sehingga ketika dibangkitkan di alam Mahsyar. Dr A’idh Abdullah al-Qarni menulis di dalam sebuah bukunya yang cukup terkenal bertajuk “Malam Pertama Di Alam Kubur” menyatakan seorang penyair arab pernah mendendangkan syairnya:
" Aku tinggalkan tempat tidurku pada satu hari, kemudian aku terserkapmembisu. Aku telah berpindah dari satu tempat menuju tempat lain. Aku berangkat pergi dari ranjang tidur dalam istanaku menuju alam lain. Kubur adalah malam pertama. Demi Allah katakanlah apa yang terjadi pada malam tersebut. Yang Allah pasti mentakdirkannya pada setiap hamba "
Al-Rifa'i juga pernah berkata :
" Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan menghindarinya, kecuali kubur. Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya melainkan dia akan datang kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke dalamnya, engkau tidak akan kembali selama-lamanya. Renungilah nasib saudaramu yang kini telah dikuburkan :
" Dahulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini matanya telah tertanggal, dahulu lidahnya petah bertutur, kini cacing tanah telah memakan mulutnya. Dahulu dia sering tertawa, kini giginya hancur terbenam "
Apakah yang dimaksudkan dengan alam Kubur ( Barzakh ) ???
Istilah alam kubur hanyalah berdasarkan kebiasaan ( ghalib ), kerana semua manusia yang meninggal dunia lazimnya pasti akan dikebumikan ( dikuburkan ). Mengkebumikan jenazah merupakan salah satu kewajiban ( fardhu kifayah ) ke atas orang yang masih hidup. Tetapi ini tidak bermakna setiap manusia mesti mempunyai kubur apabila meninggal kelak, kerana tidak semua manusia yang meninggal di atas darat ( ada juga yang meninggal di atas udara dan laut ). Sebab lain juga adalah seperti dibaham binatang buas, terbakar hangus, berkecai jasadnya kerana kemalangan atau letupan.
Selepas alam kehidupan di dunia, istilah yang paling tepat menurut al-Quran dan Hadis ialah Alam Barzakh. Menurut iktikad ( keyakinan ) Ahlu Sunnah Wal Jamaah, setiap manusia akan berada di dalam satu alam yang dinamakan alam Barzakh. Ia berada antara satu pilihan (dunia) dengan alam akhirat.
Menurut kamus Mukhtar al-Shahhah oleh Abu Bakar al-Razi, makna barzakh ialah dinding pembatas antara dua benda. Ia juga membawa makna apa yang terdapat di antara dunia dan alam akhirat sejak dari waktu kematian seseorang sehingga dia dibangkitkan. Jadi siapa yang meninggal itu bermakna ia telah masuk ke dalam alam Barzakh secara realitinya.
Dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w, banyak dikemukakan dengan jelas bahawa alam Barzakh adalah tahap yang pertama daripada sebahagian alam akhirat. Alam barzakh juga dikenali sebagai satu taman daripada taman-taman syurga dan juga satu lubang daripada lubang-lubang neraka. Jika seseorang itu selamat ketika berada di alam Barzakh, maka untuk beban mereka untuk menghadapi alam seterusnya adalah lebih ringan. Sebaliknya, kalau tidak selamat ketika di alam Barzakh, maka itu merupakan sebagai petanda yang buruk bakal menimpa mereka ketika berpindah ke alam seterusnya ( seksaan lebih dahsyat ). Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“ Sesungguhnya alam kubur itu adalah tahap pertama untuk alam akhirat. Manakala seseorang telah selamat dalam tahap pertama itu, maka untuk tahap-tahap selanjutnya akan lebih ringan. Akan tetapi, kalau tidak selamat dalam tahap pertama tersebut, maka untuk tahap-tahap selanjtnya akan lebih berat ”
Konklusinya, berdasarkan hadis di atas, sangat jelas bahawa keselamatan dan kecelakaan di alam barzakh adalah ukuran untuk menentukan tahap kehidupan yang abadi di akhirat kelak. Oleh kerana itu, bagi roh dan jasad yang selamat ketika di alam Barzakh, maka ia akan selamat di akhirat. Sebaliknya bagi jasad dan roh yang menerima seksaan ketika di alam Barzakh, maka roh itu akan menghadapi seksaan dan kesengsaraan di akhirat kelak.
Coret-coret mengenai gambaran kehidupan di alam Barzakh
Umar bin Abdul Aziz pernah berkata kepada beberapa orang sahabatnya di dalam satu majlis, Wahai fulan! engkau telah melepasi satu malam, adakah pernah kau terfikir tentang kubur dan penghuninya? Sekiranya kau tahu apakah keadaan sebenar di dalam kubur, pasti kau tak akan berani mendekatinya.
Pada suatu ketika pula , Umar bin Abdul Aziz mengiringi jenazah saudaranya. Apabila jenazah selamat dikebumikan, maka semua orang telah bersurai kecuali beliau dan beberapa orang sahabatnya yang masih tidak berganjak dari kubur tersebut. Tidak lama kemudia sahabatnya bertanya: Wahai Amirul Mukminin, kau merupakan wali kepada jenazah ini, mengapa engkau perlu menunggunya lagi sedangkan dia telah meninggalkanmu. Umar pun berkata:
“ Ya, sesungguhnya kubur ini memanggilku dari belakang. Mahukah kalian tahu apakah yang dikatakannya kepadaku: Mereka menjawab “ Sudah tentu wahai Amirul Mukminin. Kubur ini memanggilku dan berkata, “
Wahai Umar bin Abdul Aziz, mahukan aku ceritakan kepadamu apakah yang akan aku lakukan kepada jenazah yang kau cintai ini? Ya, jawab Umar. Kubur itu menjawab: Aku akan bakar kain kapannya, aku robek badannya, aku sedut darahnya serta aku kunyah dagingnya.
Mahukah engkau tahu apa yang akan aku lakukan pada anggota badannya? Sudah tentu jawabku. Aku cabut satu persatu dari telapak hingga ke tangan, dari tangan ke lengan, dan dari lengan menuju ke bahu. Lalu aku cabut pula lutut dari pehanya, Peha dari lututnya. Aku cabut lutut itu dari betis. Dari betis menuju ke telapak kakinya.
Setelah mendengar penjelasan daripada kubur itu, Umar pun menangis dan berkata :
" Ketahuilah sahabatku, umur dunia hanya sedikit. Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan. Pemuda akan menjadi tua dan yang hidup akan mati. Celakalah mereka yang tertipu olehnya. Celakalah aku, bagaimana keadaanku ketika bertemu malaikat maut, saat rohku meninggalkan dunia ??? Keputusan apakah yang akan diturunkan oleh Tuhanku. Dia terus menangis dan terus menangis, lalu pergi. Tidak berapa lama kemudian beliau meninggal dunia.
Adakah manusia yang mati menerima balasan perbuatannya di alam Barzakh ???
Menurut pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah, semua manusia yang mati akan merasai balasan perbuatannya di alam Barzakh menurut amalnya di atas dunia. Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
( Surah al-Mu'min ayat 46 )
Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Ibnu Umar r.a menyebut, rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
" Apabila salah seorang kamu mati dia akan ditunjukan tempat dia di dalam Syurga atau Neraka, pagi atau petang. Jika dia termasuk ahli Syurga, maka adalah dari ahli Syurga dan jika dia dari ahli Neraka, maka dia adalah salah seorang ahli Neraka. Kemudian akan dikatakan kepada dia inilah tempat kamu sehingga Allah bangkitkan kamu pada Hari Hisab !!! "
HIMPUNAN DALIL-DALIL AL-QURAN DAN HADIS MENGENAI ALAM BARZAKH ( ALAM KUBUR )
Dalil al-Quran
- Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia : " Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku ( hidup semula di dunia ) - supaya aku mengerjakan amalan soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak !!! Masakan kau tidak dapat ??? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka alam barzakh ( dinding ) hingga hari mereka dibangkitkan semual ( pada hari Kiamat )
( Surah al-Mu'minun ayat 99-100 )
- Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Mereka berkata : Aduhai celakalah kami !!! Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat tidur kami ( Kubur ) ??? "
( Surah Yaasin ayat 52 )
- Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Iaitu pada hari Dia memanggil kamu, lalu kamu mematuhiNya sambil memujiNya dan kamu mengira bahawa kamu tidak berdiam ( di dalam kubur ) kecuali sebentar sahaja "
( Surah al-Israa ayat 52 )
- Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Dan pada hari terjadinya Kiamat, bersumpahlah orang-orang yang berdosa : Mereka tidak berdiam ( di dalam kubur ) melainkan sesaat saja. Seperti demikianlah mereka selalu dipalingkan ( dari kebenaran ) "
" Dan berkata orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dan keimanan : Sesungguhnya kamu telah berdiam ( di dalam kubur ) menurut ketetapan Allah, sampai hari berbangkit, maka inilah hari berbangkit itu, akan tetapi kamu selalu tidak meyakininya "
( Surah ar-Rom ayat 55-56 )
Dalil Hadis
- Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“ Sesungguhnya alam kubur itu adalah tahap pertama untuk alam akhirat. Manakala seseorang telah selamat dalam tahap pertama itu, maka untuk tahap-tahap selanjutnya akan lebih ringan. Akan tetapi, kalau tidak selamat dalam tahap pertama tersebut, maka untuk tahap-tahap selanjtnya akan lebih berat ”
( Riwayat Tarmizi, Ibnu Majah dan Hakim )
- Daripada Ibnu Abbas r.a : Sesungguhnya Nabi s.a.w melalui ( melintasi ) dua kubur, lalu Baginda bersabda :
“ Sesungguhnya kedua penghuni kubur ini sedang disiksa dan mereka tidaklah disiksa kerana dosa besar, adapun yang seorang itu disiksa kerana tidak menjaga kebersihan diri ketika buang air kecil, sedangkan yang satu lagi kerana suka menceritakan keburukan orang. Kemudian Baginda s.a.w meminta satu pelepah tamar, lalu dibelahnya menjadi dua lalu bersabda : Semoga pelepah kurma ini akan dapat meringankan siksaan mereka berdua selama ia belum kering ”
( Riwayat Bukhari no 218 dan Muslim no 292 )
-Daripada Zaid bin Tsabit r.a, dia berkata : Ketika Rasulullah s.a.w berada di kawasan bani Najjar sambil menunggang keldainya dan kami bersama Baginda, tiba-tiba keldainya terkejut dan hampir saja Baginda terjatuh. Di kawasan itu terdapat enam atau lima atau empat tanah perkuburan, lalu Baginda s.a.w bertanya :
“ Siapakah antara kamu yang mengetahui penghuni-penghuni kubur ini ?
Seorang lelaki menjawab : “ Saya ”
Baginda bertanya lagi : “ Bilakah mereka meninggal ”
Lelaki itu menjawab : “ Mereka mati dalam syirik ”
Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda : “ Sesungguhnya umat ini ( penghuni-penghuni kubur ini ) sedang disiksa di dalam kubur mereka. Andaikata mereka tidak dikuburkan, nescaya aku memohon kepada Allah s.w.t agar Allah memperdengarkan kepada kamu siksaan kubur sebagaimana yang aku dengar ”
( Riwayat Muslim no 2867 )
- Daripada Siti Aisyah r.a katanya : Dua orang wanita tua daripada kalangan wanita tua Yahudi Madinah telah masuk menemuiku lalu berkata :
“ Sesungguhnya penghuni-penghuni kubur disiksa di dalam kubur mereka ”
‘Aisyah berkata :
“ Aku mendustakan mereka dan tidak percaya pada awalnya. Lalu mereka keluar dan masuk pula Rasulullah s.a.w menemuiku, maka aku bertanya :
“ Ya Rasulullah ! Dua orang wanita tua Yahudi……( lalu aku ceritakan apa yang terjadi )
Baginda kemudian bersabda yang bermaksud :
“ Benar dia ( wanita Yahudi tersebut ). Sesungguhnya mereka disiksa dengan siksaan yang boleh didengar oleh semua binatang.
‘Aisyah berkata :
“ Setelah peristiwa itu, aku tidak pernah melihat Baginda solat melainkan setelah Baginda memohon perlindungan daripada siksaan kubur ”
( Riwayat Bukhari dalam Kitab-kitab Doa no 6366 )
No comments:
Post a Comment